Ucapan YABhg
Datin Paduka Seri Endon Mahmood Di Majlis
PELANCARAN BATIK EXTRAVAGANZA 3HB DISEMBER
2003, BINTANG SQUARE, STARHILL
UCAPAN YABhg DATIN
PADUKA SERI ENDON MAHMOOD, PENAUNG, MALAYSIA
BATIK - CRAFTED FOR THE WORLD, YANG AMAT
BERHORMAT DATO' SERI ABDULLAH BIN HJ AHMAD
BADAWI, PERDANA MENTERI MALAYSIA, YANG BERHORMAT
DATO' PADUKA ABDUL KADIR SHEIKH FADZIR,
MENTERI KEBUDAYAAN, KESENIAN & PELANCONGAN,
YANG BERHORMAT DATO' SERI MOHAMED NAZRI
ABDUL AZIZ, MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN,
YANG BERBAHAGIA MOHMAD SHAID MOHD TAUFEK,
DATUK BANDAR KUALA LUMPUR, YANG BERHORMAT
MENTERI-MENTERI DAN ISTERI, TAN SRI FRANCIS
YEOH DAN PUAN SRI ROSALINE YEOH, DATO' ABD.
RAHIM MOHAMAD, PENGERUSI, BATIK GUILD SDN
BHD, PUAN LEELA MOHD ALI, KETUA PEGAWAI
EKSEKUTIF, YAYASAN BUDI PENYAYANG MALAYSIA,
PARA PENAJA KAMI YANG SANGAT DIHARGAI: ROYAL
SELANGOR, AKHBAR THE STAR, DAN A CUT ABOVE,
PARA DIPLOMAT YANG TERHORMAT, DIF-DIF KEHORMAT,
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN,
Selamat Hari Raya.
Saya berharap hadirin sekalian seronok bercuti
Raya dan menjamu selera bersama keluarga!
Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima
kasih kepada hadirin sekalian kerana bersama
kami di sini pada hari ini untuk menyaksikan
pelancaran Batik Extravaganza, yang merupakan
sebahagian daripada pergerakan Malaysia
Batik - Crafted For the World, yang kami
lancarkan pada bulan September tahun ini.
Malaysia Batik - Crafted For the World adalah
satu pergerakan yang saya rancangkan selama
beberapa tahun dalam fikiran saya. Saya
telah mendapat kesempatan bertemu dengan
ramai pengeluar batik yang mengusahakan
perniagaan secara kecil-kecilan dan besar-besaran,
dan melihat sendiri bagaimana mereka menghasilkan
seni kraf mereka.
Perniagaan batik
telah lama wujud di Malaysia. Malah, ia
telah membesar dan berkembang maju dalam
ekonomi tempatan, walaupun adakalanya mungkin
ia tidak disedari. Batik boleh didapati
di merata Malaysia. Ia dihasilkan di teratak
kayu di kawasan-kawasan luar bandar oleh
para pembuat batik secara kecil-kecilan
yang bergantung kepada jualan untuk menyara
hidup, dan juga para pengeluar besar yang
menjalankan perusahaan ini di kilangkilang
di bandar. Saya telah lama memerhatikan
pertumbuhan industri batik Malaysia. Saya
cuba menggunakan setiap peluang yang saya
perolehi untuk menunjukkan batik Malaysia.
Ia bukan sahaja memenuhi almari pakaian
saya, tetapi juga saya bawa ke luar negara
untuk diberikan sebagai hadiah! Menerusi
pergerakan Malaysia Batik - Crafted For
the World ini, kami berharap untuk mencapai
beberapa matlamat: Kami ingin menghidupkan
semula industri Batik Malaysia dan mempopularkannya
di kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Kami ingin mencari dan mewujudkan pasaran
bagi penggunaan produk Batik. Kami ingin
memastikan daya guna, perkembangan dan kemajuan
Batik dalam jangka panjang. Kami ingin menggalakkan
inovasi dalam rekaan, penggunaan bahan-bahan
dan teknologi demi kebaikan industri Batik.
Kami ingin meningkatkan ekonomi pengeluar
Batik secara kecil-kecilan, terutama sekali
di kawasan luar bandar. Kami ingin memartabatkan
semula Batik sebagai sebahagian daripada
identiti dan personaliti Malaysia. Saya
percaya bahawa kami telah menemui satu pendekatan
yang kukuh dan bersepadu. Semua objektif
ini boleh dicapai. Tetapi kita mesti bersama-sama
berusaha untuk mencapainya, kerana ia saling
bergantung antara satu sama lain.
Semasa merangka senarai
objektif-objektif ini, kami dapat melihat
dengan jelas bahawa matlamat akhir kami
adalah untuk membawa batik Malaysia ke persada
dunia, di mana ia akan mendapat penonjolan,
pengiktirafan – dan juga jualan –
yang berhak diperolehinya. Objektif di sebalik
pertandingan Rekaan Fesyen Batik Piala Seri
Endon, yang menggunakan nama saya, ialah
untuk menggalakkan dan memberi pengiktirafan
kepada bakat-bakat pembuat dan pereka fesyen
batik tempatan. Kami ingin menonjolkan mereka
dan membantu mereka mencipta nama. Selaras
dengan matlamat kami untuk memberikan pendedahan
dan pengiktirafan kepada bakat-bakat ini,
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
telah berjanji untuk membawa para pemenang
pertandingan Piala Seri Endon menyertai
pameran-pameran di luar negara pada tahun
depan.
Saya gembira dengan
penyertaan yang telah saya lihat untuk pertandingan
ini dan saya berharap untuk
bersama-sama mengikuti Saringan Pertandingan
pada 27 dan 28 Disember, dan Pusingan Akhir
pada 11 Januari 2004. Pertandingan ini akan
dijadikan satu acara tahunan yang hanya
dibuka kepada rakyat Malaysia. Saya berharap
ia akan dipertingkatkan tahun demi tahun
dan terus menggalakkan para pelukis dan
pereka batik untuk mencapai taraf kecemerlangan
yang lebih tinggi.
Walaupun fesyen
menjadi tumpuan utama dan paling ketara,
batik Malaysia bukan untuk dunia fesyen
sematamata. Banyak bidang lain yang boleh
dimajukan selanjutnya, seperti hiasan rumah,
cenderamata dan hadiah. Terdapat banyak
produk yang boleh kita hasilkan daripada
batik, untuk dibawa pulang dan digunakan
oleh pelancong asing, atau untuk kita hadiahkan
kepada sahabat handai dan sanak saudara,
atau kita gunakan sendiri untuk menghias
rumah kita. Kita juga boleh memasarkan produk
batik sebagai hadiah korporat dan mengeluarkan
barangan batik yang boleh dijadikan hadiah
syarikat-syarikat besar sebagai sebahagian
daripada usaha menjalin muhibah dan mengukuhkan
jenama, sama ada di dalam atau di luar negara.Penyelidikan
dan pembangunan dalam bidang ini perlu dijalankan
secara lebih gigih. Kita mesti menginovasikan
penggunaan bahan-bahan yang sesuai, untuk
disesuaikan dengan produk yang berlainan.
Kita mesti menyelidiki apa yang diingini
oleh pembeli. Kita mesti mencari idea-idea
yang bernas dan bersungguh-sungguh mengajukannya.
Mereka yang terlibat dalam industri ini
tentulah tahu bahawa apa yang kami cuba
lakukan bukanlah baru.
Terdapat pelbagai
organisasi yang telah lama berusaha membantu
dan bekerjasama dengan industri batik kita.
Terdapat juga mereka yang telah cuba memainkan
peranan mereka, adakalanya sendirian, kerana
mereka tidak tahu kepada siapa untuk mengadu
atau mendapatkan bantuan. Saya berharap
kami akan dapat menghulurkan bantuan kepada
mereka ini agar mereka dapat melakukan perubahan
yang berkesan. Kami telah berbincang dengan
mereka yang terlibat dalam industri ini
dan kami menyedari isu-isu yang mereka hadapi.
Sebagai contoh, antara isu-isu ini ialah
bagaimana kita boleh mewujudkan satu sistem
piawaian? Saya percaya isu ini sedang ditangani
oleh sebuah organisasi kerajaan. Seorang
pengusaha batik yang lain pula menonjolkan
isu hak ke atas rekaan mereka kerana apabila
mereka menghasilkan sesuatu yang baik dan
laris, orang lain akan menirunya. Isu-isu
seperti ini memang patut diketengahkan dan
ditangani sambil kita mengorak langkah ke
depan. Walaupun kami tidak boleh berjanji
untuk menyelesaikan semua isu dan masalah
yang ditimbulkan, kerana setengah daripada
isu-isu ini membabitkan soal undang-undang
dan di luar bidang kuasa kami, kita patut
mencuba bersama-sama untuk menanganinya
dan belajar mencari jawapan kepada persoalan
mereka sekalipun jika kita tidak dapat menyelesaikannya.
Saya ingin melihat
pergerakan ini, Malaysia Batik - Crafted
For the World, membesar dari tahun ke tahun,
menjadi satu pergerakan yang memaparkan
keunggulan dan kehebatan seni kraf Malaysia.
Batik Extravaganza ini hanya merupakan sebahagian
daripada inisiatif saya untuk meningkatkan
kesedaran terhadap batik Malaysia. Untuk
menjadikannya suatu paparan positif dalam
pemikiran orang ramai di merata dunia. Banyak
acara meriah telah dirancangkan untuk pergerakan
ini – termasuk Karnival Jalanan dengan
pelbagai aktiviti keluarga, Demonstrasi
Membuat Batik, Pertunjukan dan Pameran Perdagangan,
dan juga Pertunjukan Fesyen Batik.
Jadi, marilah kita
bersama-sama menghayati dan menghargai seni
kraf ini. Kami berharap ia akan berkembang
menjadi acara tahunan semeriah Mardi Gras
di Rio, atau Carnivale di Venice, kerana
matlamat kita ialah untuk memperkasakan
industri batik Malaysia – dan juga
industri pelancongan negara. Saya ingin
menekankan sekali lagi bahawa terdapat ramai
orang dan organisasi yang telah lama berusaha
untuk memajukan industri ini, dan bahawa
kami ingin menyokong kerja-kerja yang mereka
lakukan dan bekerjasama dengan mereka untuk
memajukan lagi industri ini. Maka itu, saya
ingin mengucapkan terima kasih kepada Panel
Penasihat kami, yang terdiri daripada kumpulan
orang-orang yang sibuk dan disegani, tetapi
sanggup meluangkan masa untuk membantu kami.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih
kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian
dan Pelancongan, dan Kementerian Pembangunan
Usahawan, kerana menyokong pergerakan ini.
Kami sangat menghargai sokongan Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur dan mengucapkan terima kasih
di atas segala bantuan yang diberikan. Kepada
Tourism Malaysia, saya ingin mengajak mereka
bersama-sama menjayakan acara ini dan menjadikannya
lebih baik dan lebih besar lagi pada tahun-tahun
akan datang. Kepada Perbadanan Pembangunan
Kraftangan Malaysia dan Sekretariat Membeli-Belah
Malaysia, sekali lagi, saya mengucapkan
terima kasih kerana bekerjasama dengan kami.
Bantuan mereka sangat kami hargai. Banyak
yang kita boleh lakukan bersama. Para penaja
kami juga begitu bermurah hati dan mereka
tampil pada saat mereka diperlukan.
Terima kasih kepada
Royal Selangor kerana menyumbangkan Piala
Seri Endon. Terima kasih juga kepada akhbar
The Star kerana bermurah hati mendermakan
wang hadiah untuk pertandingan Piala Seri
Endon – yang kesemuanya berjumlah
RM50,000. Dan terima kasih juga kepada rangkaian
salon dandanan rambut A Cut Above yang menaja
semua perkhidmatan mendandan rambut untuk
pragawati yang menyertai semua pertunjukan
fesyen! Segala sumbangan yang diberikan,
walaupun kecil, sangat bermakna bagi kami.
Justeru itu, saya merayu kepada
para penaja supaya
menyertai usaha kami dalam apa jua cara
yang boleh. Bantulah kami, sama ada dari
segi kewangan atau berkongsi kepakaran.
Kita mesti menggembeleng sumber dan tenaga
untuk menjayakan acara ini – lebih-lebih
lagi memandangkan ini adalah kali pertama
dan tahun pertama kita menganjurkannya.
Marilah kita berbangga dengan warisan negara
kita dan menjadikan harapan untuk membawa
batik ke pesada dunia satu kenyataan. Terima
kasih sekali lagi kepada hadirin sekalian
kerana bersama kami di sini untuk menjayakan
acara ini.