UCAPAN YBHG
TAN SRI ABD RAHIM MOHAMAD, PENGERUSI, BATIK
GUILD SDN BHD DI MAJLIS PELANCARAN BATIK
EXTRAVAGANZA 3HB DISEMBER 2003, BINTANG
SQUARE, STARHILL
3HB DISEMBER 2003
YANG
AMAT BERHORMAT DATO' SERI ABDULLAH BIN HJ
AHMAD BADAWI, PERDANA MENTERI MALAYSIA,
YANG AMAT BERBAHAGIA DATIN PADUKA SERI ENDON
MAHMOOD, PENAUNG, MALAYSIA BATIK - CRAFTED
FOR THE WORLD, YANG BERHORMAT DATO' PADUKA
ABDUL KADIR SHEIKH FADZIR, MENTERI KEBUDAYAAN,
KESENIAN & PELANCONGAN, YANG BERHORMAT
DATO' SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ, MENTERI
PEMBANGUNAN USAHAWAN, YANG BERBAHAGIA MOHMAD
SHAID MOHD TAUFEK, DATUK BANDAR KUALA LUMPUR,
YANG BERHORMAT MENTERI-MENTERI DAN ISTERI,
TAN SRI FRANCIS YEOH DAN PUAN SRI ROSALINE
YEOH, PUAN LEELA MOHD ALI, KETUA PEGAWAI
EKSEKUTIF, YAYASAN BUDI PENYAYANG MALAYSIA,
PARA PENAJA KAMI YANG SANGAT DIHARGAI: ROYAL
SELANGOR, AKHBAR THE STAR, DAN A-CUT ABOVE,
PARA DIPLOMAT YANG TERHORMAT, DIF-DIF KEHORMAT,
TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN,
Selamat datang ke
majlis pelancaran Batik Extravaganza, sebahagian
daripada inisiatif Malaysia Batik –
Crafted for the World. Kehadiran Perdana
Menteri kita, Yang Amat Berhormat Dato’
Seri Abdullah bin Hj Ahmad Badawi, di sini
pada hari ini untuk merasmikan pelancaran
perayaan selama sebulan ini merupakan satu
penghormatan besar bagi kami.
Pergerakan ini dianjurkan
oleh Batik Guild Sdn Bhd, yang saya Pengerusikan,
dan juga Yayasan Budi Penyayang Malaysia,
di mana saya menjadi salah seorang pemegang
amanahnya. Batik Extravaganza adalah acara
yang pertama sepertinya untuk menghayati
dan menghargai seni kraf batik kita. Oleh
kerana ini adalah tahun pertama kami menganjurkan
pergerakan ini, ia amat penting kerana ia
mungkin menentukan rentak bagi tahun-tahun
yang akan datang. Kami berhasrat untuk menjadikan
acara tahun ini sebagai batu loncatan untuk
mewujudkan satu acara antarabangsa yang
terkenal di seluruh dunia dan membolehkan
industri batik mengecapi kejayaan yang tiada
tandingannya.
Sememangnya semua
ini adalah wawasan Datin Paduka Seri Endon
Mahmood, yang sejak dari dahulu lagi amat
meminati seni kraf dan warisan Malaysia.
Dan beliau bukanlah jenis orang yang hanya
bercakap kosong, tetapi bertindak untuk
menjadikan impiannya satu kenyataan. Pergerakan
ini merangkumi banyak aspek, tetapi kita
berkumpul di sini pada hari ini untuk melancarkan
salah satu daripadanya: iaitu Batik Extravaganza.
Pelbagai kegiatan
dianjurkan di bawah program Batik Extravaganza.
Ini termasuk beberapa pertunjukan fesyen
pakaian batik. Kami mengajak hadirin sekalian
menonton pertunjukan-pertunjukan fesyen
ini untuk melihat sendiri apa yang ditawarkan
oleh pereka fesyen Malaysia. Satu Karnival
Jalanan juga dianjurkan untuk kanak-kanak.
Selain badut, pelakon mime, pertunjukan
muzik dan tarian, pertandingan untuk mereka
yang memakai batik juga diadakan. Kami berharap
menerusi suasana meriah karnival ini, kami
dapat menonjolkan keindahan batik dan memartabatkannya
semula sebagai pilihan fesyen rakyat Malaysia.
Demonstrasi membuat batik akan mengingatkan
kita kepada seni kraf ini dan bagaimana
ia menjadi sebahagian daripada warisan kita.
Namun, yang penting,
Batik Extravaganza adalah satu perayaan.
Jadi, marilah merayakannya bersama kami!
Akhir kata, terima kasih kerana sudi hadir
di sini pada hari ini untuk bersama-sama
kami memeriahkan acara ini. Dan sekali lagi,
selamat datang ke pelancaran Batik Extravaganza!